KUALA LUMPUR 30 Nov. – Modul Program Permata Negara (Permata) perlu diserap ke dalam sistem prasekolah dan sekolah kebangsaan dalam membangunkan modal insan cemerlang negara pada masa depan.
Wakil Wanita UMNO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ini kerana modul pendidikan Permata diyakini dan berjaya melahirkan pelajar cemerlang dari peringkat paling asas.
“Permata yang diasaskan isteri Presiden UMNO, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat amat berkesan dan merupakan satu pendekatan perkembangan diri yang sungguh menakjubkan.
“Atas keberkesanan itu, kita berasakan program Permata harus diserap ke peringkat prasekolah dan sekolah kebangsaan kerana ia meliputi stimulasi minda, agama dan bakat kanak-kanak,” katanya. Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak berucap membahaskan usul pendidikan, agama dan sosial pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2016 di sini hari ini. Dalam pada itu, Wan Norashikin juga mencadangkan kerajaan menambah pengambilan tenaga kerja dalam sektor kesihatan di samping mempelbagaikan peluang pekerjaan graduan kedoktoran, farmasi, pergigian dan pendidikan. Menurut beliau, usaha itu bagi menggalakkan graduan kedoktoran memulakan perniagaan atau klinik sendiri. “Sebagai contoh, dalam kawasan bandar pesakit hanya perlu mendapatkan khidmat konsultasi dengan doktor hospital kerajaan dan ubat-ubatan boleh diperoleh di farmasi berdaftar. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kerja dan kesesakan di hospital kerajaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment