SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk tahun ini telah diketahui selepas diumumkan pada 17 November lalu. Untuk UPSR kali ini, hanya 1.11 peratus atau 4,896 daripada 452,721 calon mendapat semua A dalam enam mata pelajaran.
Murid-murid yang berjaya memperoleh keputusan 6A ini memang hebat dan menakjubkan. Untuk rekod, jumlah calon UPSR yang mendapat semua A pada tahun lalu adalah sebanyak 38,344 orang dan jika dibandingkan dengan pencapaian tahun ini, penurunan bilangannya jelas ketara.
Cuma apa yang saya hendak sentuh dalam FORUM Utusan Malaysia adalah mengenai harapan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka mendapat semua A dalam UPSR tahun ini tidak kesampaian.
Lazimnya, apabila masuk sahaja tahun peperiksaan seperti UPSR sebahagian besar ibu bapa sanggup berbelanja lebih untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tersebut.
Namun, apabila keluar keputusan ada kalanya tidak memihak kepada anak-anak kita. Keputusan yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan. Selain calon, antara pihak yang benar-benar kecewa sudah pasti dalam kalangan ibu bapa.
Seperti biasa, murid-murid yang gagal mendapat keputusan cemerlang (semua A) akan diberikan kata-kata motivasi terutama daripada ibu bapa.
Bagaimanapun, tidak kurang juga terdapat ibu bapa yang bertindak memperlekehkan anak-anak mereka disebabkan kegagalan tersebut.
Seharusnya, keadaan seperti itu tidak berlaku kerana tempoh pembelajaran kanak-kanak berkenaan masih panjang. Sebab itu, ada benarnya mereka yang mengeluarkan kata-kata: “Tidak mendapat 6A sekarang bukanlah rugi, masih banyak masa lagi untuk memperbaiki keadaan.”
Yang pasti, sama ada berjaya atau tidak dalam UPSR kali ini, murid-murid masih mempunyai ruang dan masa untuk memperbaiki pencapaian khususnya untuk peperiksaan awam akan datang. Selepas ini, mereka akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan kemudian, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ingatlah, UPSR bukanlah penamat untuk segala-galanya. Tidak semestinya murid-murid yang gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu tidak akan berjaya dalam peperiksaan awam akan datang. Gagal mendapat gred terbaik bukanlah sesuatu yang paling teruk dalam kehidupan. Jadikan kegagalan ini sebagai penguat semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
Pada tahun depan, murid-murid tersebut akan ke sekolah menengah dan di peringkat itu setiap daripada mereka dituntut supaya membuat persediaan rapi kerana sukatan pelajaran untuk peperiksaan PT3 lebih mencabar.
Hakikatnya, anak-anak tetap kanak-kanak dan sebagai ibu bapa, kita harus memberitahu mereka satu perkara mudah iaitu yang lepas usahlah dikenang. Lihat sahaja ke hadapan demi mengharungi masa depan dengan lebih jaya.
Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting terutama untuk mengembalikan semangat mereka untuk terus belajar. Jangan terlalu memberi tekanan kepada anak-anak disebabkan gagal mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, baru-baru ini.
Bagi saya pendidikan menyeluruh adalah lebih penting.
Pendidikan ini merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan seseorang pelajar. Selain akademik, mereka perlu terlibat dengan aktiviti sukan dan persatuan. Mereka juga perlu diajar tentang akhlak mulia dan nilai moral yang tinggi.
Hasil daripada pembabitan dalam bidang kokurikulum di samping mempunyai akhlak yang mulia serta tahap akademik yang baik, sudah tentu pelajar yang bakal dilahirkan lebih seimbang dalam segenap aspek.
Dengan kata lain, hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata adalah tidak mencukupi apatah lagi ini hanya di peringkat UPSR.
Walau apa pun pencapaian yang diperoleh, kita sewajarnya memberikan ucapan syabas kepada semua murid yang telah menduduki UPSR berikutan standard dan kualiti peperiksaan itu yang semakin tinggi. Jangan perlekehkan mereka, sebaliknya bantulah murid-murid terbabit untuk menempa lebih banyak kejayaan dalam peperiksaan awam akan datang.
AZIZI AHMAD
Segambut Luar, Kuala Lumpur
0 comments:
Post a Comment